Istana Balai Besar, Kota Bharu |
Sultan Muhammad II telah memindahkan pusat
pentadabiran Kelantan dari Kota Saba ke Kota Bharu sekarang ini pada tahun
1844. Semasa pemindahan pusat pentadbiran ini, Baginda telah mengarahkan
pembinaan sebuah Istana untuk baginda bersemayam. Istana Balai Besar ini tlah menjadi
tempat bersemayam beberapa orang Sultan iaitu bermula dari Sultan Muhammad II
(1839-1886), Sultan Ahmad (1886-1889), Sultan Muhammad III (1890-1891) dan
Sultan Mansur (1891 – 1900) dan Sultan Muhammad IV (1900-1920).
Istana Balai Besar adalah Istana Keramat buat
keturunan Kesultanan Kelantan dan disinilah tempat berlangsungnya segala
upacara rasmi dan adat istiadat diRaja dari tahun 1845 hingga sekarang. Upacara
rasmi yang pertama diadakan sempena menyambut “Surat Sejabat” atau
pengiktirafan daripada Raja Siam kepada Sultan Muhammad II. Isi kandungan Surat
Sejabat ini adalah pengesahan Tuan Senik Mulut Merah sebagai Sultan Muhammad II
oleh Raja Maha Besar Siam yang juga penaung Kelantan. Raja Siam tersebut juga
memberi gelaran kepada Sultan Muhammad II sebagai “Pia Lecha Kelantan”.
Sepanjang Istana ini menjadi tempat bersemayam
Sultan-sultan Kelantan, beberapa tambahan telah dilakukan pada Istana Balai
Besar seperti pada bahagian hadapan dan balai penghadapan iaitu pada masa
pemerintahan Sultan Muhammad IV dan Sultan Ismail. Walau bagaimanapun, ia tidak menjejaskan
bentuk asal reka bentuk Istana yang unik ini. Istana Balai Besar dibina oleh
tukang yang mahir di Kelantan pada waktu itu.
Ia diketuai oleh Muhamad Salleh seorang tukang yang berasal daripada
Terengganu dan menetap di Kampung Kangkong, dalam jajahan Pasir Mas. Beliau satu-satunya orang yang mahir dalam
pertukangan dan membuat ukiran pada masa itu.
Istana dua tingkat ini menjadi tempat
berlangsungnya segala upacara seperti pertabalan, kemahkotaan dan
lain-lain. Ia juga merupakan suatu
institusi yang mengekalkan sumber adat resam Melayu. Di ruang dalam istana ini terdapat
singgahsana tempat bersemayam, Dewan Penghadapan dan tempat persandingan. Upacara
rasmi terbaru yang dilangsungkan di Istana Balai Besar ini adalah ketika
pertabalan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan dengan gelaran
Sultan Muhammad V pada 13 September 2010.
Walaupun Istana Balai Besar tidak lagi menjadi
kediaman Sultan-sultan Kelantan selepas Sultan Muhamad IV, tetapi istana ini
tetap dijadikan istana rasmi bagi segala upacara dan adat istiadat diraja
sehingga ke hari ini. Berhampiran Istana Balai Besar terdapat sebuah bangunan
lama yang juga ada kaitan dengan istana
tersebut. Bangunan ini dikenali
dengan Rumah Membuat Bunga Emas. Rumah
ini dijadikan sebagai tempat membuat bunga emas iaitu hadiah kepada Kerajaan
Siam setiap tiga tahun sekali sebagai tanda persahabatan pada zaman dahulu.
Sumber Utama
: Arkib Negara Malaysia
Istana Balai Besar : Dahulu dan Sekarang |
No comments:
Post a Comment