Patani adalah sebuah
kerajaan Melayu yang besar wujud di utara Sememanjung Malaysia yang kini berada
dalam negara Thailand. Secara kasarnya, kerajaan Patani telah ditakluk oleh Siam
dan kini dikenali dengan nama jolokan Southern Thailand. Kegemilangan Patani
ini menggerunkan sebenarnya. Kehebatannya adalah diwarisi daripada ancestor
Langkasuka, sebuah kerajaan Purba yang wujud di awal kurun Masihi.
Kerajaan Langkasuka
akan kita huraikan pada artikel khusus dan ianya masih peringkat penelitian
kami. Di ruangan ini, kita mahu membawa anda menyelami sedalam-dalamnya
Kerajaan Melayu Patani ini.
Sebagai permulaan,
kami sampaikan maklumat secara umum untuk mengenal kerajaan Patani dan juga
Kesultanan. Artikel-artikel berikutnya akan kami sampaikan dengan lebih jelas
dengan penekanan kepada tokoh-tokoh yang berkaitan mengikut kronologi.
SEJARAH
Hikayat Patani
menyatakan KerajaanPatani mencapai kemuncak semasa diperintah oleh 3 Dinasti
iaitu:
- Dinasti Sri Wangsa
- Dinasti Kelantan Pertama
- Dinasti Kelantan Kedua
Dinasti Sri
Wangsa juga dikelai sebagai Dinasti Ulu.
Raja Perempuan Pattani, Raja Ungu Binti Sultan Bahadur Shah telah berkahwin
dengan Sultan Pahang, Sultan Abdul Ghafur mengukuhkan hubungan Patani dengan
Pahang serta Empayar Johor amnya, dan beberapa kali serangan Siam berjaya
dipatahkan dengan bantuan Johor. Setelah Raja Ungu mangkat, Raja Kuning iaitu
puterinya hasil perkahwinan dengan Sultan Abdul Ghafur Pahang menaiki takhta
Patani. Kisah mengenai ratu-ratu akan diperinci secara jelas dalam posting yang
berasingan.
Dinasti Kelantan
Pertama diasaskan pada tahun 1650 oleh Raja Sakti yang memindahkan pusat
pemerintahannya dari Kota Mahligai ke Patani.
Dinasti Kelantan
Kedua diasaskan pada tahun 1838 oleh Raja Kampung Laut Long Muhammad bin Raja
Muda Kelantan Long Ismail, dikenali juga sebagai Tuan Besar/Paduka Seri Sultan
Phaya Long Muhammad (Al-Marhum Tanjung).
DINASTI SRI WANGSA
Patani mencapai
zaman kegemilangannya pada tahun 1584-1649 sewaktu di bawah pentadbiran Raja
Pelangi iaitu Raja-Raja Perempuan/Sultanah seperti:
- Raja Hijau (1584-1616)
- Raja Biru (1624-1635)
- Raja Ungu (1624-1635)
- Raja Kuning (1635-1649).
Ketika pemerintahan
Raja Biru, beliau telah menugaskan seorangan Muslim Cina yang bernama Tok Kayan
atau nama asalnya Lim To Khiam untuk mengetuai pembuatan meriam-meriam
kerajaan. 3 buah meriam telah berjaya dihasilkan iaitu Sri Patani, Sri Nagara
dan Mahalela. Sri Patani dan Sri Nagara mempunyai saiz yang sama, makala
Mahalela agak kecil sedikit (5 hasta 1 jengkal). Sri Patani dan Sri Nagara merupakan
meriam terbesar di Asia Tenggara dan ia telah berjaya menyekat serangan Siam
sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1603, 1632, 1634, dan 1638.
Pada tahun 1631,
Patani telah menghantar bala tentera ke Ligor bagi membebaskan cengkaman Siam
keatas orang Melayu di wilayah tersebut. Dalam serangan itu, dua buah kapal
Siam berjaya ditawan bersama-sama dengan dua orang Belanda.Siam kemudiannya
menyerang balas dan berjaya mengambil semula dua kapal mereka, tetapi dua orang
Belanda itu tidak dijumpai.
Hal ini menyebabkan
Belanda menyokong Siam dalam tindakan berikutnya. Pada Mei 1634, Siam telah
melancarkan perang ke atas Patani dan ianya adalah serangan Siam yang terbesar
keatas Patani dengan kekuatan tentera seramai 60,000 orang. Namun, bala tentera
Siam ini berjaya ditumpaskan oleh Patani yang bergabung dengan Portugis.
Tekanan dari Siam
yang sentiasa menyerang dari arah utara membuatkan Patani mencari sekutu
dari alam Melayu terutama dengan Empayar
Johor-Pahang-Riau-Lingga. Direkodkan bahawa Raja Ungu telah berkahwin dengan
Sultan Pahang iaitu Sultan Abdul Ghafur. Mereka telah dikurniakan seorang
puteri yang kemudiannya dikenali sebagai Raja Kuning yang menaiki takhta Patani
pada tahun 1635 selepas kemangkatan bondanya pada 1635. Empayar Johor-Pahang beberapa
kali menghantar bantuan dalam menangani ancaman Siam dan hasilnya Patani kekal
sebagai negeri berdaulat hingga ke penghujung abad ke-18.
DINASTI KELANTAN
PERTAMA
Pada tahun 1649,
Raja Kuning telah mangkat dan menyebabkan Patani dalam keadaan huru-hara. Raja
Sakti 1 dari Kelantan telah berjaya menyatukan Kelantan dan Patani di bawah
pemerintahannya pada 1649. Ketika ini timbulnya istilah Patani Besar yang mana
pusat pemerintahannya terletak di Kota Mahligai seperti mana lokasi ia hari ini
di Melor, Kelantan.
Seterusnya Patani
diperintah oleh puteranya, Raja Bakal yang memerintah dari tahun 1688-1690.
Selain itu terdapat dua orang Raja Perempuan daripada Kota Jembal (Kelantan
Timur) yang memerintah Patani iaitu Raja Mas Kelantan (1670-1698) dan puterinya
Raja Mas Cayam juga dikenali sebagai Raja Dewi Peracu (1698-1702).
Raja Mas Cayam
inilah yang telah menabalkan anak Bendahara Johor iaitu Tun Zainal Abidin
menjadi Sultan di Sungai Terengganu, dalam usahanya mengukuhkan persahabatan
dan persekutuan dengan Johor. Pada waktu itu, Johor mula mengalami kemerosotan
dan tidak mampu melindungi dan menghantar perlindungan dan tentera ke Patani
lagi. Ini disebabkan persengkatan di kalangan pembesar Melayu dan Yamtuan Muda
Riau pada akhir abad ke-17 dan abad ke-18. Akhirnya, Siam telah menyerang
Patani pada 1785 dan Kedah pada 1821 dan tunduklah Kerajaan Pantai Timur
Semenanjung...
Di kongsikan
Kronologi ringkas tentang Siam dan kekuasannya:
- 1760: Kebangkitan kuasa Burma di bawah dinasti Konbaung, Burma menakluk Siam pada 1767 dan Laos pada 1765
- 1768: Siam dibawah pimpinan general Taksin berjaya menghalau penjajah Burma.
- 1769: Untuk mengukuhkan kuasanya di selatan, Siam menakluk Ligor/Negara Sri Darmaraja(Nakhon Si Thammarat). Armada angkatan laut dibina di Nakhon Si Thammarat, Trang dan Krabi untuk menakluk wilayah selatan di semenanjung Tanah Melayu.
- 1782: Raja Buddha Yodfa Chulaloke atau Rama I menaiki takhta Siam menggantikan Raja Taksin yang digulingkan, dinasti Rattanakosin yang berpusat di Bangkok diasaskan.
- 1785: Di bawah pemerintahan Raja Rama I, Siam menyerang dan berjaya menakluki Patani. Kelantan dan Terengganu menjadi wilayah yang tunduk kepada Siam (tributary states) dan menghantar bunga emas ke Siam.
- 1789-1791: Pemberontakan di Patani. Patani dipecahkan kepada tujuh wilayah: Patani, Saiburi (Teluban), Nongchik, Yaring, Yala, Reman dan Rangae untuk melemahkan orang melayu.
- 1821: Kedah ditawan Siam, Siam juga mengancam menyerang Perak dan Selangor, Sultan Kedah yang kalah dilarang tinggal di Perak dan Selangor kerana Siam mengangap negeri-negeri ini dibawah kekuasaannya. Sultan Kedah terpaksa tinggal di Melaka dan melancarkan serangan gerila dari sana. Perak mula menghantar bunga emas dan 20 ekor gajah dari lembah Kinta kepada Siam.
- 1832: Reman (dekat sempadan Thailand-Perak, juga merangkumi Grik dan Pengkalan Hulu), mengisytiharkan menjadi republik. Wilayah lain, kecuali Yaring, ikut memberontak, tetapi dipatahkan.
- 1838: Pemerintah Nongchik, Yala, Reman dan Rangae bekerjasama dengan pemberontak Kedah dan menyerang Songkhla tetapi berjaya dipatahkan oleh Siam. (Musuh bisik).
- 1839: Kedah dipecahkan kepada empat kawasan: Kedah, Kubangpasu, Perlis dan Satun (Setul). Pemecahan Patani dan Kedah melemahkan kedua-dua negeri itu.
DINASTI KELANTAN
KEDUA
Pada tahun 1835
berlaku pergolakan merebut takhta Kelantan, Raja Kampung Laut yang dikenali
sebagai Tuan Besar Bin Raja Muda Ismail yang kalah kepada Sultan Muhammad II
dalam perebutan takhta Kelantan telah dilantik oleh Siam sebagai gabenor
bergelar raja (Phraya Patani) di negeri kecil Patani yang telah dipecahkan.
Salah seorang anak Raja Bendahara Long Jenal yang kalah dalam perebutan takhta
itu juga dilantik oleh Siam sebagai raja di Yaring salah satu negeri kecil di
Patani. Pergolakkan ini ada dihurai dengan jelas oleh Abdullah Munsyi yang
telah mengikut delegasi Cina Singapura ke Kelantan untuk membebaskan kapal
Singapura yang terkandas di Kelantan waktu itu. Perang Saudara ini termuat
dalam Kisah Pelayaran Abdullah Munsyi.
Dalam tahun 1826,
penaklukan Siam ke atas Patani telah diakui oleh British. Dalam usahanya untuk
mengukuhkan cengkamannya ke atas Patani, pada tahun 1902 kerajaan Siam
melaksanakan dasar Thesaphiban. Phraya Patani ke-V iaitu Sultan Abdul Kadir
Kamarudin Syah Ibni Sultan Sulaiman Syarafuddin Syah memberontak tetapi berjaya
dikalahkan dan dibuang negeri ke Kelantan. Dengan itu, sistem pemerintahan
Kesultanan Melayu telah dihapuskan. Dengan termeterainya Perjanjian Bangkok pada
tahun 1909, Patani telah diakui oleh British sebagai sebahagian daripada
jajahan Siam walaupun tanpa kerelaan orang-orang Melayu Patani.
KEHIDUPAN DI PATANI
SELEPAS 1909 – PERANG DUNIA
Semenjak penghapusan
pemerintahan Kesultanan Melayu Patani, orang-orang Melayu-Patani berada dalam
keadaan tertekan dan daif. Seperti yang diungkap oleh W.A.R. Wood, Konsol
British di wilayah Songkhla, orang-orang Melayu telah menjadi mangsa sebuah
pemerintahan yang ‘misgoverned’. Justeru, tidaklah hairan kekacauan seringkali
berlaku di Patani. Pada tahun 1923, Tengku Abdul Kadir Kamaruddin, bekas raja
Kerajaan Melayu Patani, dengan sokongan pejuang-pejuang Turki, telah mengepalai
gerakan pembebasan. Kebangkitan anti-Siam menjadi lebih hebat lagi apabila
kerajaan Phibul Songgram (1939-44) cuba mengasimilasikan kaum minoriti Melayu
ke dalam masyarakat Siam melalui Dasar Rathaniyom.
Penglibatan Siam
dalam Perang Dunia Kedua di pihak Jepun telah memberikan harapan kepada
orang-orang Melayu Patani untuk membebaskan tanah air mereka daripada
penjajahan Siam. Tengku Mahmood Mahyideen Bin Sultan Abdul Kadir Kamaruddin
Syah, putera bekas Raja Melayu Patani juga seorang pegawai berpangkat Mejar
dalam pasukan Force 136, telah mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa
British di India supaya mengambil alih Patani dan wilayah sekitarnya serta
digabungkan dengan Tanah Melayu.
Cadangan Tengku
Mahmud itu adalah selaras dengan rancangan Pejabat Tanah Jajahan British untuk
mengkaji kedudukan Segenting Kra dari sudut kepentingan keselamatan Tanah
Melayu selepas perang nanti.
Harapan itu semakin
cerah apabila kuasa-kuasa berikat, dalam Perisytiharan San Francisco pada bulan
bulan April 1945, menerima prinsip hak menentu nasib sendiri
(self-determination) sebagai usaha membebaskan tanah jajahan daripada belenggu
penjajahan.
Atas semangat itu,
pada 1 November 1945, sekumpulan pemimpin Melayu Patani dipimpin oleh Tengku
Abdul Jalal, bekas wakil rakyat wilayah Narathiwat, telah mengemukakan petisyen
kepada Kerajaan British merayu supaya empat wilayah di Selatan Siam dibebaskan
daripada pemerintahan Siam dan digabungkan dengan Semenanjung Tanah Melayu.
Namun begitu, pendirian British terhadap Siam berubah apabila Peperangan
Pasifik tamat. Keselamatan tanah jajahan dan kepentingan British di Asia Tenggara
menjadi pertimbangan utama kerajaan British dalam penggubalan dasarnya terhadap
Siam atau pun Patani.
Kerajaan British
memerlukan kerjasama Siam bagi mendapatkan bekalan beras bagi keperluan tanah
jajahannya. Tidak kurang pentingnya, kerajaan British terpaksa menyesuaikan
dasarnya terhadap Siam dengan tuntutan Amerika Syarikat yang mahu mengekalkan
wilayah Siam seperti dalam tahun 1941.
Kebangkitan Komunis
di Asia Tenggara, khususnya di Tanah Melayu pada tahun 1948, menjadi faktor
pertimbangan British dalam menentukan dasarnya. Kerajaan British menganggap
Siam sebagai negara penampan terhadap ancaman Komunis di China. Justeru,
Kerajaan British mahu memastikan Siam terus stabil dan memihak kepada Barat
dalam persaingan dengan Negara-Negara Komunis. Kerajaan British memerlukan
kerjasama kerajaan Siam bagi menghapuskan kegiatan penganas-penganas Komunis di
perbatasan Tanah Melayu-Siam.
Kebetulan pula
kerajaan Siam telah memberi jaminan untuk memperkenalkan reformasi pentadbiran
dan sosio-ekonomi di Patani bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh
masyarakat Melayu. Oleh kerana itu, isu Patani mula dianggap kurang penting
malahan kiranya dibangkitkan akan menjejaskan hubungan dengan Siam.
Selepas Persidangan
Songkhla pada awal Januari 1949, pihak berkuasa British di Tanah Melayu atas
tuntutan pihak Siam mula mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin
pejuangan Patani. GEMPAR juga telah diharamkan. Tengku Mahmood Mahyideen telah
ditekan manakala Haji Sulung dihukum penjara. Pergerakan politik Patani semakin
lemah dengan kematian Tengku Mahmood Mahyideen dan Haji Sulung pada tahun 1954.
KEBANGKITAN SELEPAS
PERANG DUNIA
Orang Melayu di Patani
tidak pernah sunyi dalam menentukan hak mereka dan kebebasan mereka daripada
Siam. Selepas Perang Dunia muncul beberapa pergerakan politik yang menuntut
kemerdekaan dan kebebasan daripada Thailand seperti:
- Gabungan Melayu Patani Raya (GAMPAR) Dibentuk oleh rakyat Patani yang tinggal di Malaya. Presidennya ialah Tengku Mahmud Mahyuddin Ibni Sultan Abdul Kadir Kamaruddin Syah, putera Sultan Patani terakhir. Matlamat: Menggabungkan Pattani Raya dengan Semenanjung Tanah Melayu.
- Pergerakan Rakyat Patani (PPM) Dibentuk di Patani, Pimpinan Haji Sulong, seorang ulama terkemuka. Matlamat: Mendapatkan taraf pemerintahan sendiri (autonomi) bagi Patani, yang terdiri daripada empat wilayah Melayu di selatan.
*Kedua-dua badan itu
lenyap selepas kematian pemimpin masing-masing dalam tahun 1953 dan 1954.
- Barisan Nasional Pembebasan Patani (BNPP) Dibentuk pada 1959 Pemimpin : Tengku Abdul Jalal -- gabungan kerabat diraja dan pemimpin agama. Sesetengah anggota BNPP menyuarakan hasrat mengembalikan kesultanan Pattani. Pemikiran agama mereka dianggap kuno.
- Barisan Revolusi Nasional (BRN) Dibentuk pada 1963. Pemimpin: Ustaz Abdul Karim Hassan, yang menyanjung Presiden Sukarno, Presiden Indonesia. BRN bergerak dari segi politik dan menyusupi 'pondok' iaitu madrasah bentuk lama. Pemikirannya berasaskan sosialisme Islam.
- Pertubuhan Persatuan Pembebasan Patani (PULO) Dibentuk pada 1968. Pemimpin: Kobira Kotanila ataupun terkanal sebagai Bapa Kabir Abdulrahman dan beliau adalah sebagai pengasas Pertubuhan Persatuan Pembibasan Patani dan Secretary General. Selain daripada gerakan politik, PULO juga melakukan gerakan gerila.Pada awal 1970-an ramai pelajar Patani di seberang laut, terutamanya Timur Tengah, menjadi anggota PULO.PULO telah di akui rasmi oleh beberapa buah negara di timur tengah sebagai satu pertubuhan yang mewakili raayat Patani.
No comments:
Post a Comment