Almarhum Sultan Yahya Petra |
Al-Marhum Tengku Yahya Petra Ibni Al-Marhum Sultan
Ibrahim (10 Disember 1917 – 29 Mac 1979) merupakan Yang di-Pertuan Agong
Malaysia yang keenam.
MASA AWAL
Diputerakan di Istana Balai Besar, Kota Bharu,
Tengku Yahya Petra menerima pendidikan agama semasa zaman kanak-kanak ketika
baginda dibesarkan oleh ayahanda saudara Baginda, Sultan Ismail. Tengku Yahya
Petra menerima pendidikan awal di Sekolah Francis Light, Pulau Pinang ketika
berusia 14 tahun. Selepas empat tahun menuntut di sekolah ini, Almarhum Sultan
Ismail menghantar baginda menuntut di England pada 1934.
Baginda berkahwin dengan Tengku Zainab binti Tengku
Muhammad Petra ketika berusia 22 tahun pada tahun 1939. Pasangan diraja ini
dikurniakan seorang putera dan enam puteri. Putera tunggal Tengku Yahya Petra
ialah Sultan Kelantan ke-28, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra. Empat
orang puteri Baginda ialah Yang Mulia Tengku Mariam, Yang Mulia Tengku Rozan,
Yang Mulia Tengku Salwani dan Yang Mulia Tengku Rohani.
KERJAYA
Tengku Yahya Petra dianugerahkan gelaran Tengku
Temenggong dan Darjah Kerabat Yang Sangat Dihormati (D.K.) oleh Almarhum Sultan
Ismail pada 21 Julai 1939. Untuk membiasakan diri, baginda dengan hal ehwal
yang berkaitan dengan pentadbiran, Tengku Yahya Petra telah dilantik untuk
memegang pelbagai jawatan utama dalam kerajaan negeri. Baginda ialah Timbalan
Presiden Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan antara 1941
hingga 1947. Pada 2 April 1944, S.P.B. dilantik sebagai Penolong Ketua Pegawai
Kewangan Negeri dan pada 6 Februari 1945, Baginda dilantik sebagai Pegawai
Daerah Kota Bharu. Pada 1945 S.P.B. Tengku Yahya Petra dilantik sebagai Tengku
Bendahara oleh ayahanda baginda, Sultan Ibrahim. Tengku Yahya Petra menjadi
Presiden Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu pada 1 Januari 1948 hingga
31 Disember 1953.
Semasa menjadi Tengku Mahkota, baginda turut
terlibat sama dalam hal ehwal kerajaan negeri dan mengambil berat kebajikan
rakyat. Semasa pemerintahan baginda (1948 – 1960), negeri Kelantan berada dalam
keadaan darurat dan baginda tetap memberanikan diri dengan melawat
kampung-kampung di kawasan pedalaman Kelantan.
NAIK TAKHTA
Tengku Yahya Petra ditabalkan sebagai Sultan dan
Yang di-Pertuan Negeri Kelantan pada hari Ahad, 10 Julai 1960, dengan gelaran
“Sultan Yahya Petra”, untuk menggantikan ayahanda baginda, Ke Bawah Duli Yang
Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Muhammad IV. Pada 6 Oktober
1966, Sultan Yahya Petra menjadi Kolonel Briged Artileri Malaysia.
Pada 22 Julai 1970, Sultan Yahya Petra dilantik
sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Majlis Raja-Raja. Istiadat
mengangkat sumpah diadakan pada 21 September 1970. Kemudian pada 19 Jun 1975,
Majlis Raja-Raja memilih Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Semasa
pemerintahan Baginda sebagai Yang di Pertuan Agong, anakanda Baginda, Dulia
Yang Maha Mulia Tengku Ismail Petra menjadi Pemangku Sultan.
Sultan Yahya Petra mangkat ketika masih menjadi Yang
di-Pertuan Agong, iaitu pada 29 Mac 1979.
ANUGERAH
LAIN
Pada 5 Jun 1952, Tengku Yahya Petra menerima Order
St. Michael dan St. George (C.M.G.) daripada Ratu Elizabeth II dari England.
Ketika negara meraikan sambutan ulang tahun pertama
Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, Tengku Yahya Petra telah dilantik
menjadi Seri Maharaja, menerima Darjah Tertinggi Tanah Melayu, Seri Mangku
Negara (S.M.N.) daripada Yang di-Pertuan Agong Pertama, Seri Paduka Baginda
Tuanku Abdul Rahman, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Sultan Yahya Petra juga menerima Darjah Kerabat
yang lain-lain, antaranya:
1961: Darjah Kerabat Yang Sangat Dihormati dari
Brunei
1964: Darjah Kerabat Terengganu
1966: Darjah Kerabat Selangor
1969: Darjah Kerabat Kedah.
No comments:
Post a Comment