SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday, 19 November 2013

Tokoh Ulama : Syeikh Ahmad al-Fatani

BIOGRAFI :

·         Nama Tubuh : Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa bin Muhammad bin Muhammad Zainal Abidin
·         Tarikh Lahir : 5 Syaaban 1272H bersamaan 10 April 1856M
·         Tempat Lahir : Kampung Sena Janjar, Kampung Jambu, Negeri Jerim kini di Selatan Thailand atau lebih tepat di Negeri Patani Darussalam suatu masa dahulu.
·         Umur  ketika pulang ke Rahmatullah :  52 tahun
·         Tarikh : 11hb. Zulhijjah 1325H bersamaan 14 Januari 1908
·         Tempat : Mina dan disemadikan di perkuburan Ma’la



Susur Galur Keturunan :

Datuk beliau iaitu, Syaikh Mustafa Bin Muhammad adalah seorang panglima Istana Raja Patani, yang telah mengundur diri selepas tentera Raja Patani kalah perang dengan tentera Siam, lalu membuka pondok pengajian di Kampong Sena Janjar, daerah Jambu.

Dikatakan beliau mendapat ‘pembukaan’ dari Allah dengan diperlihatkan air telaganya melimpah keluar pada suatu malam akhir Ramadan, yang beliau fahami sebagai petanda malam Lailatu al-Qadr. Beliau telah berdoa pada sisi telaga itu agar zuriat beliau menjadi ulama. Telaga itu masih ada sehingga sekarang dan berada tidak berapa jauh dari kubur beliau. Empat anak lelakinya telah menjadi ulama terbilang, Syaikh Abdul Latif telah bergiat di Bangkok, Syaikh Daud dan Syaikh Muhammad Zain, ayahnya Syaikh Ahmad bergiat di Makkah dan Syaikh Abdul Qadir, yang dikenali sebagai Tok Bendang Daya di Patani.

Syaikh Muhammad Zain telah membawa keluarganya berpindah ke Kota Makkah ketika Syeikh Ahmad berusia 4 tahun. Pada waktu itu, beliau telah menunjukkan keperibadian yang berbeza dengan kanak-kanak seusianya apabila beliau menghafal pelbagai matan seawal usia dua tahun.



PENDIDIKAN

Kota Makkah telah menjadi medan beliau untuk menuntut ilmu dengan gigih. Setelah itu beliau telah melanjutkan pelajaran di Baitul Maqqdis selama dua tahun sehingga menjadi orang Melayu pertama yang mendapat pendidikan khusus dalam bindang perubatan daripada Syeikh Abdul al-Rahim al-Kabuli disamping ilmu-ilmu lain terutamanya dalam bidang yang berkaitan syariat. Sebuah kitab perubatan telah dihasilkan oleh beliau semasa menuntut dengan Syeikh Abdul al-Rahim al-Kabuli yang bertajuk Tayyib al-Insan fi Tibb al-Insandalam Bahasa Melayu.

Kedahagaan beliau kepada ilmu telah membawa beliau ke Universiti Al-Azhar yang beliau namakan sebagai Masjid Jami al-Azhar, waktu itu beliau berusia belasan tahun. Beliau telah menempa sejarah sebagai Orang Pertama dari Asia Tenggara yang menuntut ilmu di Mesir sehingga terkenal di kalangan orang Melayu pada waktu itu.Ketika itu juga, beliau telah melibatkan diri dalam penerbitan kitab-kitab Melayu.

Antara guru beliau adalah (guru-guru berbangsa Melayu yang bermaustautin di Kota Makkah) :

v  Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah (berbangsa Arab)
v  Syeikh Mustafa Al-Afifi (berbangsa Arab)
v  Sayyid Umar al-Shami al-Baqa’i (berbangsa Arab)
v  Sayyid Muhammad Ali bin Sayyid Zahir al-Watri (berbangsa Arab)
v  Syeikh Abd Qadir al-Shibli al-Tarablusi (berbangsa Arab)
v  Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fatani @ Syeikh Nik Mat Kecik al-Fatani (berbangsa Melayu -Patani)
v  Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Rahman al-Fatani (berbangsa Melayu – Patani)
v  Syeikh Muhammad Said bin Isa al-Kalatani (berbangsa Melayu – Kelantan)
v  Syeikh Abdul Mutallib Kuta (berbangsa Melayu – Kelantan)
v  Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani (berbangsa Melayu – Kelantan)

KEGIATAN BELIAU
Setelah itu, beliau telah kembali ke Kota Makkah sebagai seorang ilmuan yang disegani dan penyair yang terbilang dengan gelaran Syeikh Ahmad al-Zaki Mesir. Ramai anak muda terutama dari Nusantara telah menjadi muridnya walaupun ketika itu di Kota Mekah telah ada Ulama dari alam Melayu yang bergiat di bumi Makkah.

Disenaraikan antara murid-muridnya :

Dari Patani murid-muridnya tidak kurang dari 23 orang :
Ø  Syeikh Abdullah bin Qasim Senggora
Ø  Syeikh Muhammad bin Idris al-Fatani
Ø  Muhammad bin Hussein bin Abdul Latif al-Fatani

Dari Malaysia tidak kurang hebatnya, iaitu melebihi 38 orang dan terdiri daripada kalangan Sultan, iaitu:
ü  Sultan Mansor yang merupakan sultan Kelantan
ü  Sultan Zainal Abidin iaitu sultan negeri Terengganu
ü  Syeikh Abdul Samad bin Muhammad Saleh (Tuan Tabal)
ü  Syeikh Wan Sulaiman bin Sidiq, Mufti Kedah
ü  Tuan Guru Haji Omar bin Ismail, Sungai Keladi, Kota Bharu, Kelantan
ü  Tuan Haji Awang Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kenali (Tok Kenali)
ü  Tuan Haji Hassan bin Panglima Munas (Tok Janggut)

Anak-anak murid beliau juga terdiri daripada anak-anak kelahiran Kemboja / Champa iaitu:
ü  Hj. Muhammad Saleh
ü  Tengku Sulaiman
ü  Tuan Guru Haji Muhammad Tahir Kemboja

Beliau juga turut mempunyai lebih dari 23 orang murid dari Indonesia antaranya:
ü  Syeikh Sulaiman al-Rasuli
ü  Syeikh Muhammad Jamil Jaho
ü  Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Minangkabawi.


SEMANGAT NASIONALIS
Sebagai seorang ilmuan yang disegani dan penyair yang terbilang. Kedudukan Syaikh Ahmad agak istimewa, selain daripada menguasai ilmu-ilmu tradisional agama dengan menguasai pelbagai bidang ilmu meliputi ilmu-ilmu yang berkaitan dengan bahasa Arab, usul, tafsir, hadis, fikah dan lain-lain.
Beliau juga memiliki kesungguhan untuk memahami perkembangan kemajuan dunia yang sedang pesat berlaku dan beliau berusaha untuk memanafaatkan kemajuan itu untuk meninggikan agama Islam dan memartabatkan bangsanya.

Beliau juga telah mengadap  Sultan Abdul Abdul Hamid II (Sultan Uthmaniyah Turki) untuk membenarkan percetakan kitab-kitab Melayu di Makkah. Beliau juga telah membawa beberapa orang muridnya antaranya Tok Kenali bagi mengunjungi Syam untuk bertemu Syaikh Muhammad Yusuf an-Nabhani, kemudian mengunjungi Mesir dan bertemu dengan Syaikh Muhammad Abduh.  Beliau juga menghantar muridnya ke beberapa daerah untuk tujuan dakwah, terutamanya beberapa muridnya telah pergi ke Kemboja  Beliau mengambil berat tentang nasib yang menimpa anak bangsanya  [istilah Syaikh Ahmad ialah anak jenisnya.

Zaman Syaikh Ahmad bergiat berkebetulan dengan zaman kejatuhan  kerajaan Uthmaniyyah di Istanbul,  banyak daripada kawasan pemerentahan Uthmaniyyah telah jatuh ke tangan negara-negara barat. Syaikh sangat mengkagumi sejarah  kebesaran kerajaan Uthmaniyyah di zaman lampau dan mengharapkan pemerentahan Uthmaniyyah  akan berterusan demi kepentingan ummah. Di waktu yang sama  beliau sangat insaf tentang kelemahan dan kemunduran ummah serta kekuatan pihak lain hasil kemajuan yang sedang berlaku di Eropah dan Amerika ketika itu.

HASIL KARYA
Syeikh Ahmad al-Fatani rahimahulLah telah mengarang lebih daripada 160 buah kitab sama ada dalam bahasa Arab atau bahasa Melayu termasuk kitab-kitab yang ditashih. Dalam bahasa Arab sahaja kitab-kitab karangan beliau melebihi 32 buah, antaranya ialah:
·         Jumanat al-Tawhid (1293H/1876),
·         Tashil Nayl al-Amani (1300H/1883)
·         cIlm al-Sarf (1317H/1900).

Manakala kitab-kitab yang dikarang dalam bahasa Melayu pula tidak kurang daripada 22 buah, antaranya :
·         Hadiqat al-Azhar (1307H/1890),
·         Bahjat al-Mubtadin (1310H/1892)
·         Faridat al-Fara’id (1313H/1895).

Dalam bidang pentashihan pula yang tinta emas sejarah mencatatkan bahawa beliau sebagai pelopornya telah mentashih lebih daripada 36 buah kitab yang kebanyakannya dalam bahasa Melayu berbanding bahasa Arab. Syeikh Ahmad al-Fatani telah mentashih lebih daripada 25 buah kitab berbahasa Melayu yang antara lainnya:

·         Tafsir Baydawi karangan Syeikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri,
·         Furu’ al-Masa’il karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani
·         Tuhfat al-Raghibin tulisan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari.

Antara karya-karya bahasa Arab yang ditashih beliau ialah:
·         I’anat al-Talibin oleh Sayyid Abu Bakar Shata,
·         al-Ajrumiyyah karangan Imam Shanhaji dan
·         al-Kharidat al-Bahiyyah tulisan Syeikh Abdullah bin Usman Makki.

·        


· 



KEMBALI KE RAHMATULLAH         

 Tokoh agung Nusantara yang telah menabur bakti mengajar selama 25 tahun di Masjdil Haram, ini akhirnya menemui Ilahi di Mina ketika sedang mengerjakan haji sunat pada malam 11hb. Zulhijjah 1325H bersamaan 14 Januari 1908 dan disemadikan di Mekah di perkuburan Ma’la di bawah kaki Umm al-Mukminin Siti Khadijah radiaLlahu’anha. Semoga Allah (s.w.t) mencucuri rahmat ke atas beliau dan seluruh umat Islam…Amin.



Rujukan :

1)       PEMIKIRAN USUL FIKAH SYEIKH AHMAD AL-FATANI DALAM KITAB AL-FATAWA AL-FATANIYYAH
2)      Tradisional Islam : Syeikh Ahmad  al-Fatani

3)      Melayu Online.com
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...