Assalamualaikum dan salam sejahtera buat kaum Muslimin yang
dirahmati Allah.
Syukur kehadrat Illahi kerana dikurniakan kesempatan untuk
kami berkongsi dengan anda tentang kerajaan Melayu Kelantan Purba.
Kita sedia maklum, bahawa sebelum ini kami telah mengupas
sedikit sebanyak tentang Yawadwipa. Namun ianya masih menimbulkan keraguan buat
pengamat sejarah. Kami juga mungkin dipandang enteng kerana telah menolak
beberapa sumber penting dalam kajian Kerajaan Melayu Purba. Sejujurnya, kami menghasilkan artikel ini berdasarkan
artikel dan monograf yang dihasilkan oleh Allahyarham Ustaz Abdullah bin
Mohamed (Nakula) yang diterbitkan oleh Perbadanan Perpustakaan Muzium Kelantan.
Tulisan Nakula menjadi sumber inspirasi kami yang penting, kerana pengkaji dan
penyelidik kebanyakkannya merujuk kepada hasil penyelidikan Nakula ini. Penghasilan artikel kami juga sebolehnya ringan dan mudah
difahami dengan membuang unsur-unsur mistik dan misteri yang boleh memeningkan
pembaca.
Namun, kami tidak nafikan ada fakta dan kenyataan yang harus
dikaji dengan lebih mendalam kerana usia tulisan Nakula ini telah lama tetapi
belum masih lapuk ianya boleh dijadikan asas penyelidikan. Terpulang kepada saudara
dan saudari untuk mencerna dan cerakin artikel yang kami hasilkan ini.
PENDAHULUAN
Sebuah empayar besar telah bangkit di rantau Asia Tenggara
dalam tahun 50 – 100 Masihi iaitu Yawadwipa namun ianya satu isu yang
mencetuskan kontroversi ekoran kekurangan fakta bertulis. Ianya harus
dijalankan berdasarkan kepada kerja lapangan dan juga petunjuk-petunjuk dari
riwayat tradisi.
Penyelesaian untuk meredakan kontroversi ini, Nakula telah
mengkaji Kerajaan Yawadwipa ini berdasarkan kepada beberapa likungan zaman
tertentu bagi mengelakkan pertindahan fakta.
Terdapat empat sumber awal yang menyokong kewujudan Yawadwipa iaitu:
1. Kenyataan
dari buku Ramayana oleh Valmiki
2. Kenyataan
dari buku Geographia oleh Claudius Ptolemy
3. Kenyataan
dari buku Hou Han Shu
4. Kenyataan
dari buku Saddharmasmrityupasthana-sutra
KENYATAAN DARI RAMAYANA
Terdapat beberapa pendapat menyatakan usia buku Ramayana
ini, pendapat dari K.A. Nilakanta Sastri menyatakan bahawa buku ini adalah satu
zaman dengan buku Kanun Pali, Niddesa dan ianya dihasilkan dalam awal abad
pertama masihi. Dalam buku Ramayana ini terdapat beberapa fakta mengenai
Yawadwipa dalam bahagian syair keempat dari Ramayana naskhah Bombay, iaitu
ianya membicarakan tentang arahan dari Sugriwa (Hanuman) kepada kumpulan
keranya supaya pergi keseluruh pelusuk dunia untuk mencari Sita Dewi yang
hilang. Syair tersebut berbunyi:
Yatnavanto Yavadvipam,Saptarajyopasobhitam,Suvarnarupyakadvipam,Suvarnakaramanditam,Yavadvipam-antikaramnya,Sisiro nama parvatah,Divam sprsati srngena,Devadanava-sevitah.
Maksudnya:
Walau bagaimanapun, lawatilah Yavadvipa,Tujuh kerajaan menjadi hiasan,Itulah tanah emas dan perak,Banyak berlombong bertukang emas,Disebelah sana Yavadvipa,Terletak gunung bernama Sisiro,Puncaknya menyapu awanDikunjungi deva-danava.
KENYATAAN DARI GEOGRAPHIA
Buku ini ditulis oleh Ptolemy dalam tahun 150 Masihi. Ia
dinyatakan bahawa penulisan bukunya ini berdasarkan kepada Marinos dari Tyre
yang telah diperbaiki dan ditambah baik dengan mengambil maklumat lebih lanjut
yang dikumpul oleh beliau sendiri. Buku Marinos itu pula dihasilkan pada 120
Masihi dan ia dihasilkan berdasarkan buku seorang nakhoda yang juga pengembara
bernama Alexander yang dihasilkan pada tahun 75 Masihi. Buku Alexander dan
Marinos ini telah hilang dan hanya diketahui melalui dari petikan-petikan yang
dibuat oleh Ptolemy dalam buku Geographia. Berikut petikan Ptolemy mengenai
Yawadwipa:
- Semenanjung disebut dengan nama “Chryse Chersonesos” yang bermaksud “Semenanjung Emas” dan beliau telah memperihalkan secara agak terperinci nama kota-kota, sungai-sungai dan gunung-gunung yang ada di Asia Tenggara ketika itu.
- Kesebelah Selatan dari Chryse Chersonesos ini terletak suatu pulau bernama Labadiou yang bererti Pulau Jelai.
- Ibu kotanya bernama Argyre yang bermaksud Kota Perak yang terletak di hujung barat Labadiou dan dibandingkan dengan Chryse Chersonesos, ibu kota ini terletak di sebelah timur.
- Labadiou adalah satu kawasan yang subur dan banyak menghasilkan emas.
KENYATAAN DARI HOU HAN SHU
Buku Hou Han Shu ini disusun dalam abad ke-5 Masihi, dalam
buku ini terdapat beberapa fakta penting:
- Dalam tahun 132 Masihi, suatu perwakilan telah tiba di negeri China dari tempat bernama Ye-tio.
- Ye-tio ini terletak disebelah sana sempadan Jih-nan.
- Perwakilan ini dihantar oleh rajanya bernama Tio-pien dan menerima hadiah-hadiah balasan daripada Maharaja China terdiri dari satu mohor emas dan pita berwarna ungu.
KENYATAAN DARI
SADDHARMASMRITYUPASTHANA-SUTRA
Buku ini adalah mengenai agama Budha dalam bahasa Sanskrit.
Ianya telah diterjemah ke dalam bahasa China dalam tahun 539 Masihi oleh
seorang Brahman yang datang dari Benares.
Menurut Sharat Chandra Das, Asvagosha ada menulis satu tafsiran mengenai
sutra ini. Ini bermakna usia sutra ini adalah seusia dengan Zaman Kanishka pada
akhir abad Pertama Masihii. Dalam sutra ini mengandungi satu bahagian petikan
yang menggambarkan tentang Jambuvidpa yang bermaksud kepada Benua Asia
Tenggara.
Pesanan dari KPSK:
Sebelum kami melangkah lebih jauh, ingin kami nyatakan
bahawa Empayar Yawadwipa ini adalah diasaskan oleh Sri Kripawarman atau lebih dikenali dengan
nama Wan Pa di Medang Gana yang terletak di Kelantan.
Dari sini Wan Pa telah melakukan ekspedisi menakluk seluruh
Semenanjung. Seterusnya, kami akan paparkan sebanyak 30 rujukan dari sumber
Hindu, China, Arab dan Eropah tentang Empayar Yawadwipa ini.
No comments:
Post a Comment