Abad ke-18 dan awal abad ke-19 adalah zaman kemelut
politik yang hebat di sekitar Selat Melaka. Kedua-dua abad itu dipenuhi dengan
babak-babak sejarah perihal kemerosotan dan kemunculan kuasa-kuasa kerajaan
Melayu tempatan, disamping menghadapi persaingan politik yang sengit dengan
kuasa-kuasa dari Barat, iaitu Portugis, Belanda dan Inggeris.
Di bahagian Selat Melaka, empayar unggul Melayu,
iaitu kerajaan Johor-Riau, warisan daripada kerajaan Melayu Melaka mula
menunjukkan bibit-bibit perpecahannya, apabila kerajaan Johor-Riau yang selama
ini dianggap sebagai kelangsungan daripada Kesultanan Melayu Melaka, yang
sekurang-kurangnya dapat dibuktikan daripada salasilah raja-rajanya, mengalami
tragedi pahit, iaitu kemangkatan Sultan Mahmud Syah II (Marhum mangkat dijulang
atau Marhum Kota Tinggi). Kemangkatan baginda pada tahun 1699 mencetuskan suatu
sejarah hitam bagi kuasa politik Melayu. baginda dikatakan tidak meninggalkan
zuriat. Ini memberikan jalan kepada
Bendahara Johor, Tun Abdul Jalil (Marhum Kuala Pahang) untuk mengangkat dirinya
sebagai sultan.
Tetapi tidaklah semudah itu beliau mempertingkatkan
taraf dirinya daripada seorang yang ‘berdarah merah’ kepada seorang yang
‘berdarah putih’; daripada taraf ‘Tun’ kepada taraf ‘Sultan’, tanpa memikirkan
bahawa tindakan yang cukup berani tetapi bertentangan dengan tradisi dan resam
Melayu ini mencetuskan pergolakan di dalam budaya perpolitikan Melayu yang
cukup hebat di perairan ini. Belum pernah terjadi di dalam sejarah Melayu
tindakan politik seperti itu. Anak-anaknya juga turut menggunakan gelaran
‘Tengku’. Dan tidaklah pula selicin itu beliau berjaya di dalam ikhtiar
menegakkan wibawanya sebagai seorang pemerintah dan raja yang berdaulat.
Sepanjang era pemerintahan beliau di antara tahun 1700 hingga 1718 terdapat
kalangan yang menyokong dan menentangnya. Suasana Johor-Riau menjadi gawat. Ini
memberikan laluan kepada perpecahan kuasa dan menggugat keutuhan kuasa pusat,
perpaduan anggota masyarakat menjadi longgar, seterusnya merintis jalan kepada
kemasukkan unsur-unsur asing ke dalam institusi politik dan masyarakat
Johor-Riau.
Dari arah tenggara, kedatangan dan kemasukan suku
Bugis mulai awal abad ke-18 memberikan suatu corak baru di dalam dimensi
politik tradisional Johor-Riau. Dari arah barat pula, kemunculan kuasa
Siak-Minangkabau yang kemudiannya menerjah ke dalam politik Johor-Riau menambah
ruwetkan lagi suasana yang sedang parah itu. Beberapa buah kuasa tempatan
Melayu yang selama ini berindukan kepada kekuasaan politik Johor-Riau mula
mengambil peluang membebaskan diri daripada ikatan pusat. Wujud pula beberapa
buah kerajaan baru. Di bahagian pantai timur Sumatera, dengan adanya peluang
kegiatan ekonomi dagang dan dengan merosotnya sebuah kuasa pusat selama ini
berjaya mengawal laluan jalan perairan Selat Melaka, muncullah pula kerajaan
Melayu Siak.
Hubungan awal yang rapat di antara istana Siak
dengan istana Pagaruyung mencetuskan pengertian bahawa imej Siak yang didakwa
sebagai keminangkabauan itu sebenarnya bukanlah muncul dalam ikatan etnik,
tetapi lebih di dalam bentuk ikatan dan emosi politik – bila mana dalam
menciptakan kewibawaan politik bagi mewujudkan sebuah kerajaan Siak yang
berdaulat, raja-raja awal Siak, terutama Raja Kecil (Sultan Abdul Jalil Rahmat
Syah 1718-1740an) didaulatkan secara ritual
peribumi oleh Ratu Jamilan dan Yamtuan Sakti di istana Pagaruyung. Secara
kebetulan pula sumber Belanda menyebut Raja Kecil sebagai berketurunan
Minangkabau. Dan secara fizikal dan material
pula baginda disokong oleh pedagang-pedagang daripada kalangan Minangkabau.
Maka secara tersendiri imej Minangkabau di dalam kerajaan Siak nampaknya lebih
mejurus kepada kalangan kerabatnya.
Hal inilah yang barangkali jarang diperkatakan di
dalam kajian dan penulisan sejarah.
Kesultanan Siak diasaskan oleh Raja Kecil (Marhum
Buantan). Baginda memerintah dari 1723 hingga 1740-an. Sehingga 1784, Siak
diperintah oleh enam orang Sultan berketurunan langsung dari titisan darah
baginda. Tetapi selepas kemangkatan baginda, putera-puteranya saling berperang
untuk merebut takhta kerajaan. Pergaduhan antara saudara memungkinkan keluarga
lelaki kerabat Siak yang berketurunan Sayyid memanipulasi takhta, lalu selepas
tahun 1784 itu, muncullah sultan-sultan Siak yang berdarah Arab dan menggunakan
gelaran sayyid, dari masa Tengku Sayyid Ali hinggalah kepada Tengku Sayyid
Kasim (1940-an).
Anggota-anggota kerabat tulen daripada keturunan
Raja Kecil yang secara tradisinya wajar mendakwa sebagai pengganti takhta Kerajaan
Siak yang sah, terpaksa keluar dari Siak, lalu berkelana ke sana ke mari untuk
mencari dan menegakkan pengaruh politik masing-masing. Ada berkeliaran di Selat
Melaka hingga ke Laut China Selatan dengan pengikut tersendiri. Ada pula yang
berjaya memulakan suatu kesultanan baru. Salah seorang daripada mereka adalah
Tengku Akil yang berkelana hingga ke Sukadana, barat daya Borneo. Ketika itu,
kuasa-kuasa Belanda dan Inggeris kian bertapak di rantau ini. Kerabat-kerabat
diraja Siak saling berinteraksi dengan mereka, sama ada sebagai musuh atau
sebagai rakan sekomplot, di samping berinteraksi pula dengan kuasa dan kelompok
Melayu tempatan yang lain, terutama Bugis.
Memang amat sedikit diketahui tentang peristiwa
sejarah dan pengalaman politik keluarga kerabat Siak dan pengikut Minangkabau
mereka di dalam gelora pensejarahan Melayu rantau ini. Pemikiran ahli sejarah
selama ini banyak dipengaruhi oleh sumber-sumber dan penulisan sejarah serta
peranan kaum Bugis. Akibatnya, peranan pihak Melayu Siak yang tidak kurang
pentingnya seperti pihak Bugis, sering tidak mendapat perhatian yang
sewajarnya. Betapakah pula penulisan sejarah peribumi mengenai kegiatan dan
peranan mereka amat terhad diketahui akan kewujudannya. Hasil-hasil penulisan
jenis ini memang menarik perhatian kita kerana corak dan persepsi historisnya
tentulah berbeza daripada corak dan persepsi historis yang terdapat di dalam
penulisan yang muncul daripada kalangan suku Bugis. Walau apa pun tanggapan
kita mengenai hubungan sejarah dan kemanusiaan suku-suku Melayu ini, namun
perihal masa-masa mereka yang lepas, kita harus menghadapi dan memperkatakan
realiti.
Di atas kesedaran inilah maka naskhah Hikayat Siak, satu-satunya warisan
penulisan sejarah yang ditinggalkan oleh suku-sakat keluarga kerabat diraja
Siak dan keturunan Minangkabau daripada Kesultanan Siak ini ditampil dan
diselenggarakan untuk penerbitan. Semoga dengan ini persepsi sejarah kita
mengenai kegiatan beberapa suku masyarakat Melayu di rantau ini dapat
ditempatkan dan diletakkan ke tahap yang sewajarnya demi untuk melahirkan suatu
dimensi pensejarahan yang seimbang pula coraknya.
Wassalam.
Prof. Dato’
Dr. Muhammad Yussof Hashim
Jabatan
Sejarah
Universiti
Malaya
Julai
1991/Muharram 1412
No comments:
Post a Comment