Tahukah saudara-saudara sekalian, Kelantan telah ditawan oleh Melaka pada tahun 1499. 11 tahun sebelum Melaka di tewaskan oleh Portugis?
Bedasarkan Sulaltus Salatin, telah tersurat bahawa Melaka telah menawan Kelantan walaupun terdapat beberapa versi lain mengenai perkara ini. Hakikat yang tidak dapat ditolak adalah Kelantan telah tunduk kepada Melaka ketika zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah ketika baginda meluaskan empayar Melaka.
Apa sebab Melaka hendak menakluk Kelantan?
Bedasarkan kepada kitab Sulaltus Salatin juga, Kelantan pada waktu adalah sebuah negara yang besar dan lebih besar daripada Patani. Rajanya daripada keturunan yang hebat iaitu daripada Raja Culan. Kerana kehebatan ini, Sultan Menawar Syah atau dalam catatan modenannya, Sultan Mansur Syah ibni Sultan Iskandar Shah, Raja Kelantan-Majapahit * tidak mahu tunduk kepada Melaka yang waktu itu diterajui oleh Sultan Mahmud Syah.
Maka Kerana keengganan Sultan Kelantan tunduk, Sultan Mahmud telah menghantar bala tentera untuk melanggar Kelantan yang diketuai oleh Tun Mutahir yang bergelar Seri Maharaja.
Ditakdirkan, Kelantan tewas kepada angkatan perang daripada Melaka. Namun Pahlawan Kelantan bertarung dengan sengit menentang Empayar Melaka. Berikut digambarkan oleh Sulalatus Salatin tentang peperangan tersebut.
“Maka Seri Mahajara (Tun Mutahir) pun pergilah dengan beberapa puluh hulubalang; setelah datang ke Kelantan, maka orang Melaka pun naiklah ke darat. Maka dikeluari oleh orang Kelantan. Lalu berperang, beramuk-amukan, terlalu subur, rupa kilat cahaya senjata seperti kilat dilangit, sabung menyabung, gemuruh bunyi bahana tempik hulubalang, dan gemercing bunyi senjata, seperti akan sampai ke langit; daripada kedua pihak rakyat itu pun banyaklah luka dan matinya; darah pun mengalir ke bumi. Maka dengan tolong Rabbul ‘alamin, patahlah perang orang Kelantan, maka kota Kelantan pun alah; maka segala orang Melaka pun masuklah ke dalam kota merampas; terlalu banyak beroleh rampasan.”
“Maka anakanda Raja Kelantan tiga orang perempuan dapat; yang lelaki seorang lepas, Raja Gembuk (Gombak) namanya. Maka anak Raja Kelantan yang perempuan itu, ketiganya tertawan oleh orang Melaka. Seorang bernama Onang Kinang (kening), seorang bernama Cau Pa, seorang bernama Cau Pauk (Chubak), maka ketiganya dibawa oleh Seri Maharaja kembali ke Melaka.
Setelah sampai ke Melaka, maka Seri Maharaja pun masuk mengadap Sultan Mahmud. Maka puteri ketiga itu pun dipersembahkan ke bawah duli Sultan Mahmud; maka terlalulah sukacita baginda oleh Kelantan alah itu, dan baginda memberi anugerah persalin akan Seri Maharaja berserta segala hulubalang yang pergi itu. Maka puteri Kelantan ketiganya ditaruh dalam istana. Puteri Onang Kinang itu diperisteri baginda, beranak tiga orang; yang tua perempuan bernama Raja Mah, yang tengah lelaki bernama Raja Muzzafar, yang bongsu bernama Raja Dewi.”
Kesimpulannya, Kelantan sebelum ditawan Melaka adalah sebuah negara yang besar dan berdaulat yang berkuasa di bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu. Ia daripada keturunan yang hebat dan agung. Keturunan Kesultanan Kelantan waktu itu sama hebatnya dengan Kerajaan Majapahit dan setara dengan Melaka waktu itu.
Namun ditakdirkan tunduk kepada Melaka tetapi takdir Allah s.w.t. adalah lebih elok lagi. Walaupun Kelantan tewas, ada keturunan daripda Kelantan yang lahir dari ketewasan ini iaitu Raja Muzaffar yang kemudiannya ditabal serta menjadi pengasas kepada Kesultanan Perak hingga kini...
Renungkan.... disinilah pentingnya perpaduan ini, kerana antara Kelantan – Perak – Melaka – Johor ada pertalian darah...
Ulasan : Ringkasnya dapat dilihat disini bahawa Kerajaan Melaka waktu itu mempunyai hubungan dengan Kerajaan Kelantan waktu itu walaupun dalam hal ini, Kelantan tunduk kepada Melaka, adanya Puteri Onang Kening telah dikahwini oleh Sultan Mahmud Syah dan mereka dikurniakan Tengku Muzzafar Syah yang juga nanti menjadi pengasas Kesultanan Perak. Perkara ini menguatkan lagi akan pertalian darah ini.
*Royalark.net
Keratan Sulalatus Salatin |
1 comment:
....tiada catatan tahun bagaimana peristiwa spt yg diceritakan itu.
Post a Comment