SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday, 19 November 2013

Istana Jahar : Kekal Utuh sebagai Bukti Kesultanan Kelantan

Istana Jahar, Kota Bharu.

Istana Jahar, sebuah Istana kebanggan Rakyat Kelantan dahulu dan kini. Ianya masih tersergam indah di Bandraya Islam, Kota Bharu. Ianya terletak berhampiran Istana Balai Besar. Ia juga antara istana-istana  menarik yang terdapat di Kota Bharu.
Istana ini mula dibina semasa pemerintahan Long Senik Mulut Merah atau lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad II (1837 – 1886) setelah pembukaan bandar Kota Bharu dan pembinaan Istana Balai Besar. Sultan Muhammad II membina istana ini adalah untuk dikurniakan kepada cucundanya yang bernama Long Kundur Bendahara. Setelah kemangkatan Sultan Muhammad II pada 1886, Long Sulong yang lebih dikenali sebagai Sultan Ahmad telah menyambung pembinaan istana ini hingga sempurna.

Sultan Ahmad telah mangkat pada tahun 1889 dan digantikan oleh anakanda baginda iaitu Long Kundur Bendahara dengan gelaran Sultan Muhammad III. Baginda telah menjadikan Istana Jahar sebagai Balai Besar dan tempat persemayaman baginda.
Sultan Muhammad IV telah menaiki takhta setelah kemangkatan mengejut  Sultan Muhammad III. Baginda telah menjadikan Istana Balai Besar sebagai tempat bersemayam, dan Istana Jahar masih lagi digunakan. Sebenarnya istana ini tidak mempunyai nama sehinggalah pada tahun 1911 sekembalinya baginda dari lawatan ke Singapura. Istana ini beri nama sempena daripada nama sejenis pokok bunga yang menghiasi halaman Istana Jahar. Kemudiannya, istana ini dikurniakan kepada puteranya Tengku Ismail yang bergelar Tengku Seri Indera Mahkota.

Selepas kemangkatan Sultan Muhammad IV pada 1920, Tengku Ismail menggantikan baginda dengan gelaran Sultan Ismail dan bersemayam di Istana Jahar yang dikurniakan oleh Almarhum ayahanda baginda. Sultan-sultan Kelantan yang kemudian seperti Sultan Ibrahim (1944-1960) dan Sultan Yahya Petra (1961-1979) tidak lagi bersemayam di Istana Jahar sebaliknya mempunyai istana sendiri.
Istana Jahar kini dijadikan sebagai Muzium Diraja Negeri Kelantan.  Muzium ini mempamerkan sejarah kesultanan Negeri Kelantan daripada zaman awal hinggalah kepada pemerintahan Sultan Kelantan pada masa sekarang.  Ruang pameran yang terdapat di bangunan Muzium ini dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti peralatan senjata, pakaian tradisi, dan hal-hal lain yang berkaitan dengan kesultanan. Walaupun telah dijadikan Muzium tetapi reka bentuk asal bangunan ini tetap dipelihara.  Seni binanya yang unik dengan ukiran-ukiran yang cantik telah menyerikan lagi bangunan istana yang dijadikan muzium itu.


Istana Jahar yang terletak di sisi Istana Balai Besar di tengah-tengah bandar Kota Bharu adalah contoh warisan seni bina Melayu yang indah dan menarik.  Sekiranya anda berkesempatan berkunjung ke sini, Istana Jahar dan istana-istana lain di sekitarnya jelas kelihatan di tengah-tengah bangunan baru dan moden.  Namun pembangunan pesat kawasan sekitarnya tidak menjejaskan bangunan warisan bangsa yang banyak menyimpan rahsia sejarah.

Istana Jahar : Sumber Raykinzoku

Istana Jahar : Sumber Arkib Negara

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...