Kelantan dan Terengganu adalah
dua buah negeri berjiran dan mempunyai sejarah yang panjang. Dua buah negeri
Pantai Timur Semenanjung ini juga merupakan negeri yang wujud semenjak abad
pertama tahun masihi lagi. Catatan kuno dari China banyak merekodkan dua negeri
ini selain dari Patani dan Kedah.
Sejarah yang paling menarik untuk
kita perhatikan adalah mengenai perseteruan dua buah negeri ini yang masih
wujud dalam beberapa situasi seperti pertemuan antara penyokong pasukan bola
sepak dalam stadium ketika perlawanan bola sepak yang menyaksikan pertemuan
pasukan dari Kelantan dan Terengganu.
Semuanya berpunca dari sejarah
silam yang menyaksikan Kelantan dan Terengganu pernah terlibat dalam beberapa
siri peperangan. Sebagai contoh, Perang Kota Kubang Labu 1 dan 2. Peperangan
ini menyaksikan Angkatan Perang Long Ghaffar dan Long Yunus mendapat bantuan
dari Terengganu bagi mengalahkan Long Muhammad yang ketika itu bersemayam di
Kota Kubang Labu.
Perang Kota Kubang Labu 1 berlaku
kerana fitnah manakala Perang Kota Kubang Labu 2 berlaku kerana memungkiri
janji hingga menyebabkan Kelantan dikenali dengan nama Negeri Kerat Lintang. Setelah itu juga, Kelantan diperintah oleh Raja
Tunggal iaitu Long Yunus*. Pemerintahan
oleh pewaris dari Long Yunus boleh kita anggap era pemerintahan Kelantan Moden
dalam kepompong feudalnya.
----------------xxxxx--------------------------------xxxxx----------------
Perang Kelantan – Terengganu dalam Hikayat Siak
Hatta tersebutlah Raja Kelantan,
hendak melawan Terengganu; dan bermula, dia dibawah perintah Terengganu. Dan
Yamtuan Terengganu pun marah, hendak dilanggarnya. Dan bersiap perahu. Orang
Terengganu, seratus perahu yang sudah sedia. Dan orang Terengganu pun pergilah,
dan segala saudaranya pergi melanggar. Setelah sampailah, lalu berperang
Terengganu dan Kelantan. Banyak orang Terengganu mati. Maka lalu memberi surat
kepada Yamtuan Terengganu, mengatakan hal segala hulubalang sudah mati, Wan
Din. Dan kepada waktu itu, Tengku Abdullah berselisih dengan Dipertuan,
sebabnya, Tengku Daud dimentak Tengku Abdullah. Semua saudaranya muafakat
dengan Tengku Abdullah. Dan yang bersama dengan baginda hanyalah Tengku Musa.
Maka Tengku Abdullah mentak Tengku Daud, hendak dibunuh, kerana fitnah orang,
sumbang dengan Tengku Saliah. Akan Tengku Saliah, diracun oleh Tengku Enid.
Adalah Tengku Daud itu, belum
baligh, titah baginda, “Jikalau sudah patut kepada hukum syarak, kita boleh
bunuh.” Dan Tengku Abdullah mentak juga, oleh sebab Tengku Saliah sudah mati.
Dan kata baginda, “Bukannya Tengku Saliah itu matinya kita kujut. Ia mati /
muntahkan darah; dan itu pun jikalau sudah patut hukum syarak, kita bunuh juga.
“Jikalau sudah patut hukum syarak, kita bunuh juga. “Jikalau tuanku tiada mahu
membunuh, patik sekalian tiadalah tuanku perhamba.” Dan kata baginda, “Baiklah,
kita buang ke Bugis.” Dan Tengku Abdullah tiada mahu. “Dan jikalau tuanku tiada
mahu patik pertuan, tiadalah patik menyembah.” Maka baginda pun murka. “Sahaya
pun tiada harap kepada Raja Abdullah.” Dan jawab Tengku Abdullah, “Patik pun
tiada takut kepada tuanku.” Maka kata baginda, “Raja Abdullah selang tiada
takut, jika sahaya pun tiada takut.” Maka samalah marahnya, sama mendekati.
Setelah dilihat Tengku Musa, maka
ia pun datang , lalu duduk sama tengah. Ia mengadap kepada Tengku Abdullah,
lalu ditunjuknya, katanya, “Perut besar ini berisi tahi sahaja. Jikalau abang
hendak bertikam, marilah dengan sahaya; jangan abang melawan Yang Dipertuan,
kerana dia kita rajakan.” Maka Tengku Abdullah pun bangun, lalu berjalan
kembali. Dan baginda masuk ke dalam istana.
Hatta tersebutlah perkataan Raja
Terengganu, hendak berangkat melanggar Kelantan. Maka Yang Dipertuan mendengar
Yamtuan Terengganu berangkat itu, maka baginda menyuruh membaiki perahu. Dan
tinggal dengan Tengku Abdullah lima belas perahu, hendak keluar dari
Terengganu. Dan pergi dengan baginda hanyalah Tengku Musa. Maka Yamtuan Terengganu
pun memanggil baginda, lalu bertitah, “Awang, datuk bawa bersama-sama.” /
Sembah baginda, “Baiklah, patik mengiring.” Maka Yamtuan Terengganu pun
berangkatlah pergi, diiringkan anakanda baginda. Setelah sampailah di Kelantan,
lalu masuk, dan titah baginda, “Hari esok kita melanggar, dan Awanglah kita
harap menjadi kepala perang.” Maka kata baginda, “Baiklah tuanku.”
Setelah hari esok, maka baginda
pun berangkat dengan adinda Tengku Musa, lalu naik gajah. Dan orang Terengganu
naik tiga ribu. Serta sampai di tengah jalan, sudah dekat dengan kubu, maka
orang Kelantan pun menyongsong. Maka bertemu ditengah jalan, dan sama
bertikamkan lembing, lalu berperang. Dan orang Terengganu pun undurlah. Maka
baginda pun menyuruh marakan gajah. Serta bertemu dengan musuh, lalu berperang.
Maka baginda menyuruh orang Terengganu bertahan. Dan segala orang Siak pun
disuruh baginda mara, beramuk. Dan pemburas orang Siak pun berbunyilah. Dan
orang Terengganu tiada mahu mara. Dan orang Kelantan pun undurlah. Maka baginda
pun bertahan.
Maka hari pun petanglah. Maka
baginda pun kembali mengadap Yamtuan Terengganu, dan sembah baginda, “Orang Terengganu
ini tiada melawan orang.” Dan sembah baginda, “Kepada hari esok, jikalau tiada
patik mati, Kelantan dapat. Patik mintak, pagi-pagi hari, orang Terengganu
melanggar dahulu. Dan barang bila tiada dapat kubu itu, barulah orang Siak
melanggar.” Maka kata Yamtuan Terengganu, “Mana baik kepada Awanglah.”
Setelah kepada hari, maka orang /
Terengganu pun melanggar kubunya, tengah tiga puluh; yang besarnya satu. Dan
serta datang orang Terengganu dipanggilnya oleh orang Kelantan, “Datanglah
mari, sudah jodo(h) orang Kelantan!” Dan lima ribu orang Terengganu datang
melanggar, tiada boleh dekat. Maka orang Terengganu pun hundurlah. Dan baginda
hendak berangkat, maka tiada diberi oleh Tengku Musa. “Sebolah-bolehnya patik
kerjakan.” Dan titah baginda, “Tiada sahaya mahu, bercakaplah betul.” Dan
sembah paduka adinda, “(Jikalau tiada) patik mati, tentulah kubu orang Kelantan
dapat oleh patik.”
Maka baharulah baginda tersenyum,
“Dan tuanku langkahkanlah patik ini.” Dan baginda pun sembahyang zohor. Dan
serta baginda sudah membaca doa, maka baginda bertitah, “Sahaya serahkanlah
kepada Allah subhanahu wa taala akan diri berjalan.” Dan Tengku Musa pun
menyembah baginda, lalu berangkat. Dan orang-orang yang baik-baik, dua belas
orang yang mengikut baginda semuanya. Ada tengah dua ratus pemuras, dengan
perisai dan tombak benderang. Baginda pun dekatlah kubu besarnya. Dan Tengku
Musa selawat, lalu baginda menempuh sahaja, tiada peduli akan bedil orang
Kelantan.
Dan orang Kelantan pun memaki,
“Dan orang Siak, jangan masuk akan orang Terengganu.” / Dan orang Siak tiada
dimakan besi. Dan dilihat orang Kelantan, orang Siak tiada perduli akan bedil
dan tombak; masih juga datang, dan tiada dilihat mati. Maka kata orang
Kelantan, “Orang Siak puki mak, amput mak, membedil hantu bukannya orang.” Dan
orang Siak sampai di kaki kubu. Maka baharulah dibedil dengan pemuras. Dan
berteriaklah orang Siak, mengatakan, “Amuk!” Maka orang Kelantan pun lari. Dan
serta dapat kubu itu, maka titah Tengku Musa, “Tinggalkan kubu ini dan kita
ikut.” Maka semua orang Siak pun mengejarlah semuanya, dengan dibedilnya. Maka
orang Kelantan pun larilah semua, dan kubu semuanya dapat. Maka Tengku Musa pun
kembali mengadap baginda.
Maka Yang Dipertuan pun menyuruh
memberitahu Yamtuan Terengganu, mengatakan sudah alah Kelantan. Dan segala
orang Siak pun merampas. Berapa banyak rampasan tombak, dan dipintak Yamtuan
Terengganu. Maka disembah Terengganu menyuruh memanggil Raja Kelantan. Maka
Raja Kelantan pun datang mengadap. Maka dipulangkan lagi menjadi raja, bersumpah,
dan Yamtuan Terengganu pun bersumpah.
Dan Yang Dipertuan Siak menyuruh
perahu ke Siam, mengambil orang Siam lapar, banyak mati, turun sahaja ke perahu
orang. Dan baginda kembali ke Terengganu. Dan tiada berapa lamanya, orang dari
Siam pun datang, membawak orang Siam lima ratus, perempuan, lelaki. Maka
baginda / pun menyuruh Panglima Tuha ke Palembang, membawa orang Siam tengah
dua ratus, persembah kepada Sultan Palembang, dan kepada Pangeran Ratu, dan
kepada segala menteri. Maka Panglima Tuha berlayar ke Palembang. Serta sampai,
lalu masuk mendapatkan Kerangkah Jelusin, menyampaikan surat baginda. Dan lalu
Kerangkah Jelusin membawak Panglima Tuha mengadap Sultan, persembah surat.
Setelah sultan melihat surat itu,
maka sultan pun tersenyum, lalu baginda bertanya kepada Panglima Tuha. Maka
sembah Panglima Tuha, “Akan paduka anakanda, sudah beristeri di Terengganu.”
Maka titah sultan, “Apakah buah tangan anak kita itu kepada isterinya?” Maka
sembah Panglima Tuha, “Lebih-lebih maklumlah tuanku atas adanya akan paduka
anakanda itu, miskin.” Dan jawab sultan, “Tiada anak kita miskin di dalam
Palembang. Ini negeri anak kita, taidalah anak kita boleh malu.” Dan Panglima
Tuha pun bermohon kembali. Dan titah sultan kepada segala menteri, di suruh
berkirim semuanya. Dan Sultan Palembang berkirim cucuk sanggul intan, rial
sepuluh ribu, buat belanja beristeri. Dan segala menteri, semuanya berkirim.
Ada cincin intan, ada subang intan, masing-masing atas mengatas. Dan Panglima
Tuha dipersalin selengkap pakaian hulubalang, dengan kerisnya. Setelah sudah,
lalu Panglima Tuha menjujung duli, lalu turun ke perahu, hilir, lalu berlayar.
Tiada berapa lamanya, maka sampailah / di Terengganu, mengadap baginda,
persembah akan surat. Maka dibaca baginda surat; kiriman diambil baginda,
adanya.
Hatta, ada satu tahun lamanya,
maka Sultan Palembang menyuruh satu perahu kici, membawa timah ke Terengganu.
Itu kici diwakilkan kepada Yang Dipertuan Siak. Serta sampai itu kici, maka
diambil baginda, semuanya seribu pikul. Dan perahu itu disuruh kembali,
membawak surat mengatakan, “Paduka anakanda mengambil, berutang, kerana
anakanda kurang berbelanja.” Dan serta sampai di Palembang, mengadap sultan.
Setelah dibaca surat daripada Yang Dipertuan Siak, maka sultan pun tertawa,
“Sahaja kita menghantar anak kita akan belanjanya diam di Terengganu, jangan
dia malu.”
Hatta, maka Tengku Abdullah
hendak belayar. Tengku Abdul Rahman tiada mahu pergi. Dan baginda pun memberi
segala saudaranya, dua ratus satu orang, dan Tengku Musa lima ratus, dan Tengku
Abdullah lima ratus. Maka Tengku Abdullah pun datang mengadap. Dan isteri
baginda, Tengku Enid, hamil. Setelah sampai bulannya, maka Tengku Enid
berputera seorang perempuan, dinamakan Tengku Jenab. Dan Tengku Musa beristeri
akan Tengku Embung Maimunah.
Hatta tersebutlah perkataan Raja
Kelantan, kembali lagi dia melawan. Dan dipersembahkan kepada Yamtuan
Terengganu. Maka Yamtuan pun murkalah, menyuruh bersiap perahu dan menyuruh
memanggil paduka anakanda / Yang Dipertuan Siak. Maka baginda pun datang
mengadap paduka ayahanda. Kata Yamtuan Terengganu, “Orang Kelantan sudah
melawan pula, ayahanda hendak pergi di Kelantan, melanggar. Anakanda pergi
bersama-sama.” Maka sembah baginda, “Baiklah, tuanku.” Maka baginda pun
menyuruh bersiap perahu. Akan adinda baginda, semuanya pergi. Maka Yamtuan
Terenggan pun berangkat, diiringkan baginda.
Setelah sampailah di Kelantan dan
orang Kelantan pun sudah siap kubu. Dan serta mudik perahu Terengganu, maka
dibedilnya orang Kelantan. Maka Yang Dipertuan menyuruhlah mara orang Siak, melanggar kota Kelantan. Dan
penjajap orang Siak pun mudik, melanggar. Dan tiada berapa lamanya berperang,
dan kota Kelantan pun dapat, dan rajanya lari. Dan Yamtuan Terengganu pun masuk
kota Kelantan. Dan baginda tinggal di perahu. Dan tiada berapa hari, Raja
Kelantan pun mengamuk kota, dan Yamtuan Terengganu pun turun ke perahu. Dan
kota pun dapat oleh Raja Kelantan. Meriam di kota dibedilkannya ke perahu
penjajap. Maka penjajap orang Terengganu pun undurlah.
Maka baginda pun murka, memaki
orang Terengganu. Baginda pun bertitah kepada adinda Tengku Musa; menyuruh
melanggar. Maka Tengku Musa mudik bersampan; lalu naik ke darat, mengambil
rumah orang tinggal, dekat kota, lalu dinaik akan lela, dibedilnya. Maka
penjajap Siak pun melanggar; semuanya memasang / meriam. Setelah sampai di
jambatan, maka segala panglima berlompatan. Tengku Abdullah dengan segala
saudaranya menjadi kepala amuk. Bunyi pemuras seperti bertih. Maka dikepunglah
kota Kelantan. Maka Raja Kelantan pun lari dari sebelah darat kota, lalu ke
hutan dengan segala orangnya. Maka Kota Kelantan dapat kembali. Dan Yamtuan
Terengganu menyuruh anakanda menjadi raja, Tengku Muhammad, menjadi Yamtuan
Kelantan. Maka Raja Terengganu kembali, baginda sama-sama mengiringkan.
Hatta, maka tiada berapa lamanya,
datang penyuruh sultan Palembang, menyuruh perahu pokta membawa timah ke
Terengganu, diwakili akan paduka anakanda, Yang Timah itu seribu pikul. Dan
diberi surat, “Paduka anakanda Siak,” Dan perahu Palembang pun kembali. Serta sampai,
dipersembahkan surat dari Yang Dipertuan Siak. Sudah dibaca, baginda pun
tersenyum. Titah Sultan Palembang, “Sahaja dia yang punya.”
----------------xxxxx--------------------------------xxxxx----------------
Artikel di atas dipetik daripada Hikayat Siak yang
menjelaskan mengenai keadaan dan pemerintahan Kesultanan Siak, dalam hikayat
ini terdapat pelbagai catatan yang mengisahkan hubungan Siak dengan Kesultanan
di Semenanjung seperti di Johor dan Terengganu. Namun, apa yang perlu kita
perhatikan adalah mengenai peperangan antara Kelantan dan Terengganu.
No comments:
Post a Comment