Tan Sri Dato’ Nik Ahmad Kamil Bin Nik Mahmud (Dato’
Seri Setia Raja) 1944-1953
Tan Sri Dato’ Nik Ahmad Kamil Bin Nik Mahmud ialah
seorang anak kebanggaan Kelantan yang mencapai kecemerlangan dalam banyak
bidang termasuk pendidikan, perkhidmatan kerajaan, koperat dan kerjaya politik.
Beliau ialah Menteri Besar Kelantan dari tahun 1944-1953. Sebelum menjadi
teraju
utama kerajaan negeri, beliau dilantik menjadi
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 1934 dan Timbalan Menteri Besar
Kelantan pada tahun 1938. Beliau juga salah seorang dari Ahli Rombongan Misi
Kemerdekaan yang turut ke London pada tahun 1956 bagi merundingkan bagi
merundingkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada British.
Beliau dilahirkan pada 7 Julai 1909 dan mendapat
pendidikan awal di Madrasah Muhammadi, Majlis Ugama Islam Kelantan sebelum
melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar 1925 sehingga lulus
peperiksaan Senior Cambridge. Pada tahun 1926 beliau telah dihantar oleh
Kerajaan Negeri untuk melanjutkan pengajian Undang-undang di United Kingdom
sehingga lulus Ijazah “Barrister at Law” dari Lincoln’s Inn pada November 1930.
Perkhidmatan beliau dalam kerajaan bermula dengan
perlantikan sebagai Pelatih Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan
pada tahun 1931. Beliau pernah menjadi Penolong Pegawai Daerah Pasir Puteh dan
Majistret Kelas I di Mahkamah Kota Bharu. Selepas dua tahun sebagai Majistret,
beliau dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya.
Sejarah gemilang beliau dalam perkhidmatan awam
termasuklah menjadi Pesuruhjaya Perdagangan Malaya ke Australia pada tahun
1957, Pesuruhjaya Tinggi Malaya ke United Kingdom pada tahun 1950, Setiausaha
Tetap di Kementerian Luar Negeri pada tahun 1958. Beliau juga ialah Wakil Tetap
Kerajaan Persekutuan Kerajaan Tanah Melayu ke Amerika Syarikat dan Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1959. Beliau bersara daripada Perkhidmatan
Awam pada Mei 1962.
Antara kegiatan dalam bidang koperat pula, beliau
menjadi Pengerusi Syarikat Rothman of Pall-Mall (Malaysia) Bhd, pada tahun 1963
dan Pengerusi Public Bank pada tahun 1968. Pada Jun 1973 beliau dilantik
sebagai Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.
Penglibatan beliau dalam politik bermula dengan
memasuki Persatuan Melayu Kelantan yang ditubuhkan pada tahun 1939. Pada tahun
1946 pula beliau menganggotai UMNO tetapi pada tahun 1955 telah memimpin Parti
Negara Cawangan Kelantan. Pada tahun 1964, beliau telah dilantik sebagai Ketua
Perhubungan UMNO Kelantan.
No comments:
Post a Comment